Monday, October 2, 2017

Cafe November

BAB 1

H
ATI rasa mahu meletup bila dengar pengakuan daripada Hisham. Rasa ringan tangan mahu naik ke mukanya. Tetapi aku sabarkan rasa marah itu. Tak nak buat onar di tengah-tengah khalayak ramai. Ini kalau tak mengenangkan di mana kami berada rasanya Hisham ni dah kena strok dek tamparan aku ni.
“Kau cakap apa ni? Kau jangan nak main-main. Majlis tu tak sampai seminggu aje lagi.”
“Aku minta maaf. Aku tak boleh.” Hisham geleng seraya meraup mukanya.
But why?” Soalku geram.
“Aku... Aku dah nikah dengan Nisa.” Ujarnya. Matanya langsung tidak dikalih daripada memandangku.
Aku terus terbangun dari duduk. Kerusi yang jatuh aku tak hiraukan. Kata-kata yang keluar dari mulut Hisham lebih memeranjatkanku sekarang ini.
“Kau, apa?” Jeritku kuat. Tangan spontan digenggam erat.
Bunyi suara orang ketawa dan berbual menyentak lamunanku. Aku pandang sekeliling. Ruang tamu sudah meriah dengan kunjungan saudara mara dan sahabat rapat. Kini aku berada di sini, di rumah ku sendiri bukan lagi dalam cafe dan tiada Hisham di hadapanku. Aku meraup muka. Cuba mengusir rasa sebal dengan sikap tidak bertanggungjawab Hisham.
“Kenapa ni, Seira?” Bisik Eefa apabila dia melihat aku mengeluh tadi. Aku geleng dan menarik senyum. Tidak mahu sesiapa perasan dengan rasa gemuruh aku itu.
“Kenapa tu?” mataku melirik pada kelompok lelaki yang berada di depan kami.
“Pengantin lelaki nervous. Dah dua kali sebut tapi tak lepas.” Eefa tergelak kecil. Aku menggeleng perlahan. Kesian dengan bakal suami tu. Kelihatan abah menepuk perlahan bahu bakal menantunya dan berbisik perlahan. Entah apa yang dibisikkan oleh abah sehinggakan muka bakal pengantin tersenyum dan mengangguk yakin.
Selepas beberapa ketika, barulah pengantin lelaki dapat menyebut dengan jelas akad nikah tersebut. Masing-masing tersenyum lega. Aku sudah menitis air mata. Akhirnya semuanya sudah selamat.
“Tahniah.” Berpusu-pusu ucapan tahniah yang diterima. Aku bangun dan terus memeluk adikku.
“Tahniah dik.” Pipi adikku dicium bertalu-talu. Rasa sebak mula menguasai diri. Sungguh aku akan buat apa saja asalkan adikku ini gembira.
“Lupakan lelaki tak guna tu. Mulakan hidup baru dengan Aiman. Kakak doakan adik dan Aiman berbahagia hingga ke syurga.” Bisikku. Melinda angguk dan mengesat air matanya.
“Terima kasih kak.”
“Boleh bagi laluan. Pengantin lelaki nak sarungkan cincin ni.” suara Mak ngah mencecah kuat. Aku pantas berkalih ke tepi dan memberi laluan untuk Aiman sarungkan cincin pada Melinda.
Kerlipan kamera dari tadi tidak henti-henti merakam moment indah ini. Aku mengukir senyum bila melihat wajah Melinda dan Aiman yang tersenyum lebar. Aku harap rumah tangga yang baru dibina ini akan kekal hingga ke akhir hayat mereka. Hanya itu saja pintaku.

SUNYI saja rumah ini sejak Melinda kahwin. Kini yang tinggal hanya aku dan abah. Abah pagi-pagi lagi sudah keluar, katanya ada gotong royong di balai raya. Sebagai AJK kawasan taman, abah kenalah hadirkan diri.
Tin biskut aku kelek bersama-sama dengan segelas air teh. Hujung minggu macam ni apalah sangat yang boleh aku buat. Kalau dulu masa ada Melinda bolehlah juga dia temankan aku keluar jalan-jalan.
Dari satu siaran ke satu siaran aku belek. Pagi-pagi macam ni tiada cerita yang menarik hanya banyak bual bicara. Biskut dicicah ke dalam air teh dan disuap ke mulut. Ah! Sedapnya. Dah lama tak makan dengan cara ni.
Berkeping-keping juga biskut yang dimakan. Kenyang. Alhamdulillah. Aku tersengih. Kemudian bunyi hon dari luar rumah. Aku bergegas bangun dan menjenguk dari balik tingkap.
“Seira. Ooo.. Seira!”
Aku bergegas buka pintu dan menyauk selipar. Pintu pagar dihampiri. “Ada apa Di?” Soalku dari balik pintu pagar. Hamidi, kawan sekolah aku dulu.
“Ini abah kau kirim lauk.” Hamidi angkat dua plastik di tangannya. Dia menyua dari atas pagar kepadaku.
“Terima kasih. Ini dah bayar ke belum?” Soalku sambil mata memerhati isi didalam plastik tu.
“Dah. Eh aku balik dulu. Ada banyak kerja lagi ni. Assalamualaikum.” Hamidi angkat tangan sebelum berlalu dengan motornya.
Aku menjawab salamnya dan terus masuk ke dalam rumah. Plastik tadi aku letak dalam singki. Ada ayam, sotong dan ikan selar. Memang segar-segar nampaknya ni.
Dalam kepala mula merangka nak masak apa dengan lauk pauk tu. Rasanya dah lama aku tak main masak-masak sejak balik bercuti ni.
“Buat tomyam, sotong celup tepung sikit lepas tu goreng ikan. Fuh! Baru terbayang dah rasa lapar.” Aku tergelak seorang. Sebab dalam rumah ni hanya ada aku dan ayah, jadi aku buat cukup-cukup hanya untuk kami berdua saja.

“AMBOI anak abah ni. Apasal rajin sangat hari ni?” teguran abah membuatkan kerja-kerja memasak terhenti buat seketika. Aku menoleh dan tersenyum saja.
“Nak makan kenalah rajin. Kalau tidak nak makan apa. Abah nak air?” Tanyaku bila abah sudah melabuhkan duduk di kerusi makan. Abah angguk. Aku menarik gelas kosong dan diisi dengan air masak yang dicampur dengan air panas. Abah memang suka minum air suam macam ni.
Abah ambil dan menghirup sedikit demi sedikit sementara aku kembali menyambung kerja tadi. Bau semerbak ikan yang sudah siap digoreng benar-benar membuatkan perut aku lapar.
“Abah nak makan sekarang atau kejap lagi.” Pinggan berisi ikan aku letak di depannya. tudung saji juga sudah kubuka. Abah memerhati hidangan yang terhidang.
“Makan sekaranglah. Terliur pula abah tengok tomyam Seira ni.”
Aku tersenyum dan pantas menyenduk nasi masuk ke dalam mangkuk. Dua pinggan kosong turut diletakkan di atas meja. Satu untuk aku dan satu untuk abah.
“Cukup, bah?” Soalku bila aku sudah mengisi nasi ke dalam pinggan.
“Cukuplah tu.” Ujar abah. Dia menyambut huluran itu. Abah membaca doa makan dan aku sama-sama mengaminkan doa itu.
Aku menyuap sedikit nasi ke dalam mulut sebelum mengisi lauk. Nampak muka abah sudah tersenyum bila dia menyuap makanan tadi.
“Sama.” Abah mengangkat kepalanya dan memandang aku. Aku tersenyum lebar. Kerap kali abah memuji bila merasa masakanku. Rasa hati semakin berbunga-bunga.
“Mestilah. Tengoklah siapa sifu Seira.” Aku sengih.
“Lepas ni, senanglah kalau Seira dah ada suami. Tak adalah abah risau perut menantu abah tu.”
“Apa tetiba keluar pasal menantu pula ni?” suapanku terhenti.
“Betullah. Seira dah pandai masak. Jadi tak adalah kebulur suami Seira nanti.” Usik abah.
“Seira tak rasa nak kahwin lagilah abah. Biarlah Seira jaga abah dulu.” Aku faham ke mana arah tuju bicara abah itu.
“Tapi Seira tetap kena kahwin. Mel dah lepas. Lepas ni Seira pula. Kalau pasal abah, jangan bimbang. Abah boleh jaga diri sendiri.”
Perut yang berkeroncong tadi mula menjadi sebu. Kenapalah abah nak bercakap pasal ni masa-masa tengah makan, kan perut aku dah merajuk.
“Lambat lagi tu abah. Soal jodoh tu tunggulah dulu. Sekarang ni, biar Seira yang jaga abah. Atau abah nak suruh Seira pinangkan Mama Lin untuk abah?” usikku.
“Hish!” abah membulatkan matanya kepadaku. Aku tergelak. Tahu yang abah sudah malu bila aku mengusik dia dan Mama Lin.
“Eleh. Marahlah konon-kononnya ni, padahal suka.” Usikku lagi. Nampak muka abah sudah berubah merah. Bukannya aku tak tahu yang abah dan Mama Lin ni selalunya main mata kalau berjumpa.

“Sudah. Makan.” Abah meletakkan seekor ikan ke dalam pingganku. Mukanya ditundukkan dan tangan laju menyuap nasi. Aku mengulum senyum, tahu yang abah sedang menahan malu bila aku mengusiknya tadi. Alahai! Abah... abah.

Cafe November

BAB 1 H ATI rasa mahu meletup bila dengar pengakuan daripada Hisham. Rasa ringan tangan mahu naik ke mukanya. Tetapi...