Saturday, December 12, 2015

Indahnya Cinta 3


                                                     


B
UNYI PINTU di ketuk perlahan sebelum terdengar pintu di buka dari luar. Mama muncul sambil tersenyum. Tangan yang sedang melipat pakaian terus terhenti. Mama datang dan duduk di sebelah aku di birai katil.
“Banyak ke barang-barang nak di bawa nanti?”  Tanya mama sambil tangannya sibuk melipat sama baju aku.
“Sikit aje ma, Lagipun mana boleh bawa banyak-banyak nanti nak letak kat mana. Kalau pergi dengan kereta tak apalah juga.”
“Risau mama nak lepas adik pergi sana. Adik mana pernah naik motor sampai jauh-jauh macam tu. Adik ni pantang naik kereta terus mata tu nak terlelap, nanti atas motor pun buat macam tu juga”  Mama dah mula nak membuka tazkirah di malam-malam hari. Aku berhenti melipat baju dan mengengsot ke arah mama. Tangan mama di capai.
“Ma jangan risaulah. Adik akan jaga diri adik baik-baik. Lagipun abangkan ada.”  Aku menyakinkan mama untuk melepaskan aku pergi dengan senang hati. Aku tahu yang mama risaukan aku.
Tadi bila abang memberitahu yang kami akan berkonvoi ke Johor dengan naik motor berkuasa tinggi nampak sangat mama tidak bersetuju. Namun tidak bagi aku yang memang teruja sekali. Dah lama aku berangan-angan nak naik motor besar itu. Akhirnya peluang dah datang tapi mama pula nak menghalang.
“Macam mana mama tak risau, adik tu perempuan. Kalau ada apa-apa jadi nanti mama yang risau. Adik tak payah pergilah ya. Kalau nak pergi juga adik drive.”  Mama masih lagi tidak berputus asa.
“Ma, pleaseee.... Kali ni aje. Dah lama adik pasang angan-angan nak naik motor tu. Sekali ni aje lepas ni adik janji akan ikut cakap mama. Adikkan ikut abang. Takkan mama tak percayakan abang. lagipun dia memang dah pro pasal motor ni.”  Aku merenung mama lama. Wajah aku mulai teduh. Mama mengeluh berat, Perlahan-lahan kepalanya di angguk. Aku bersorak riang. Tubuh mama di peluk sayang.
Thank you mama, Love you so much.”  Pipi mama di cium bertalu-talu. Senang aje nak pujuk mama. Mama memang kalah dengan aku. Hehehe..

“DAH tak ada apa-apa yang tertinggal lagi dik?.”  Tanya abang sambil mengambil helmet dan menghulurkan kepadaku. Aku menggeleng. Abah dan mama sibuk memerhatikan kami. Tadi dah berbakul-bakul nasihat di beri buat aku dan abang. Kami hanya mengangguk. Jangan nak protes nanti abah tarik balik keizinan tu.
Abang menjeling ke arah aku bila mama menyuruh menjaga aku sebab ini kali pertama aku ikut berkonvoi. Aku tersengih kepada abang.
Kami mula bergerak. Mama dan abah melambai sayu ke arah kami. Alahai mama... Anakmu bukan nak pergi berperang tapi nak bercuti aje tapi itulah naluri seorang ibu. Sentiasa risau dengan anak-anak tapi anak-anak macam kami ni yang tak reti bahasa. Hahaha.
Wow... Aku memang cukup teruja bila dapat membonceng motor besar ni. Aku bergaya sakan dengan jaket dan but yang tersarung di badan. Helmet full face lagi tu. Bunyi enjin motor pun dah buat orang lain tertoleh-toleh ke arah kami bila abang berhenti di lampu isyarat. Memang satu perasaan yang tak dapat aku nak gambarkan.
Abang memberhentikan motor di stesen minyak Petronas. Ketika itu aku baru perasan yang sudah ada beberapa buah motor yang sama menunggu di situ. Aku meloncat turut. Helmet di buka dan di letakkan di atas motor. Abang berjabat tangan dengan membernya dan memperkenalkan aku kepada rakannya. Aku tersenyum. Aku hanya bersalam dengan kaum wanita sahaja. Wah... Nampaknya masing-masing membawa pasangan.
Aku terpegun melihat berbagai jenis motor di depanku. Ada kawasaki ninja, Aprillia, dan beberapa buah motor yang aku tak kenal spesisnya. Memang gempak gila motor-motor dia orang ni. Tengok abang akulah motor dia dah buat aku melopong kekaguman, Kawasaki Ninja 650R putih hitam. Enjin berkuasa rimau. Kalau mengaum memang meremang bulu roma.
Abang menghulurkan sebotol air mineral kepadaku. Abang memberitahu yang kami sedang menunggu beberapa orang lagi yang masih belum sampai dan selepas itu baru kami bertolak. Abang syok berborak dengan kawan-kawannya sambil membelek-belek motor masing-masing. Abang aku ni memang gila motor besar macam ni sejak dari kecil lagi.
Hampir setengah jam juga kami menunggu sebelum seorang demi seorang orang yang di tunggu sampai. Salah satunya Haiqal. Dia menongkat motor jenis Aprilia RSV4, membuka helmet dan mengepit di celah ketiaknya. Dia berjalan dengan penuh macho ke arah kumpulan kami. Aku terpempan melihatnya. Nyaris-nyaris mulut aku nak tersebut wow, Tapi sempat di halang oleh akal aku. Itu Haiqal okey.. Tapi aku harus akui yang Haiqal memang nampak lain sangat daripada biasa. Nampak macho dan seksi bila dia berpakaian begitu.
Haiqal dah mendekat dan menyapa membernya. Siap berhigh five dan berlaga bahu lagi. Aku hanya duduk memerhati. Aku duduk berselindung di belakang seorang wanita. Selepas itu kami sudah bersedia untuk bergerak.
Bila melihat abang sudah bergerak ke arah motor aku mengikut dari belakang. Jaket dan tudung yang tersarung aku betulkan sebelum mengambil helmet di atas motor. Baru aje nak pakai ada suara menegur dari belakang. Aku dan abang berpaling.
“Farah pun ada? Tadi kenapa tak nampak?”  Haiqal tersenyum manis.
Aku diam. Tak tahu nak cakap apa. Lain pula rasa hati aku ni. Demam ke apa ni?
“Memanglah ada. Beria-ia nak mengikutnya”  Balas abang yang sudah mengenakan helmet. Dia sudah bersedia di atas motor. Bila melihat abang dah siap menunggu aku terus membonceng dan memeluk pinggang abang kemas.
“Hai, kalau aku tak kenal dengan korang berdua ni sah-sah aku ingat yang korang ni couple”  Ujar Haiqal sambil tersengih. Abang juga ketawa sama di dalam helmet. Dia berjalan pergi bila masing-masing sudah mula bergerak.
Berderum bunyi enjin motor yang bersatu dengan bunyi kenderaan lain di atas jalan raya. Aku enjoy aje sepanjang jalan tapi yang tak sedapnya naik lenguh pinggang aku ni. Kalau dalam kereta tu bolehlah juga nak betulkan urat tapi atas motor ni payah sikit. Nanti kalau silap cara ada yang terguling-guling atas jalan nanti.
Aku perasan yang Aprilia RSV4 sentiasa beriringan dengan Kawasaki Ninja milik abang. Aku menjeling dengan hujung mata. Nampak rilek aje dia atas motor. Orang lain ada yang membawa pasangan tapi dia hanya berseorangan.
Perjalanan dari KL-BP yang mengambil masa dalam beberapa jam akhirnya berakhir sudah. Kami semua berhenti di depan Hotel  The Katerina. Abang mengangkut beg galas dia dan aku dan berjalan masuk untuk urusan check in.
Riuh seketika di ruang lobi hotel itu dengan suara kami yang seramai 30 orang. Kunci bilik di bahagikan kepada kami. Aku berkongsi bilik dengan Sofea. Bila pintu bilik di buka aku terus merebahkan diri di atas tilam. Letih yang teramat sangat. Sofea tersenyum sambil melabuhkan diri di atas tilam yang satu lagi.
“Adoi... Penatnya rasa badan  ni”  Aku merungut dengan mata yang terpejam.
“Memanglah sebab you mungkin tak biasa, Kalau dah biasa berjalan jauh pasti tak ada hal”  Ujar Sofea. Aku bangun dari perbaringan dan duduk menghadap Sofea.
You memang selalu pergi travel dengan naik motor ke?”  Tanyaku. Sofea mengangguk.
I selalulah juga ikut Hafiz pergi konvoi, mula-mula tu memang I surrender tapi bila dah kerap sangat rasa dah lali dengan semua ni. Makin seronok lagi adalah. Rasanya lagi best dari naik kereta.”
“Memang betul tu. I pun rasa macam tu juga. Memang I dah jatuh cinta dengan motor besar sekarang ni”  Ujarku makin teruja. Sofea tersenyum.
“Okeylah I nak mandi kejap. Rasa dah melekit dah badan ni”  Sofea bangun dan menarik sehelai tuala di dalam almari dan terus lesap ke bilik air. Aku kembali berbaring di atas katil. Nak baring-baring sekejap.

PADA malamnya, kami semua berkumpul di restoran hotel untuk makan malam. Hidangan secara bufet di pilih. Aku mengambil sedikit nasi putih bersama dengan tom yam seafood dan ikan kerapu masak tiga rasa.
Aku duduk di sebelah abang. Tiba-tiba Haiqal datang menyemak di depan aku. Dia tersengih sambil meletakkan pinggan yang berisi makanan dan mula menyuap. Aku turut makan sama tanpa menghiraukan dia.
“Abang nak rasa sikit”  Aku meminta sedikit puding jagung yang berada di dalam piring kecil di depan abang. Nampak sedap pula puding tu.
“Ambillah sendiri”  Abang terus mengambil puding yang terakhir dan menyuapkan ke dalam mulutnya sambil tertawa. Aku memuncung. Abang ni tak teragak-agak nak usik aku, depan kawan-kawannya pun sama.
“Nah ambil yang saya punya.”  Haiqal menolak piringnya ke arahku. Aku terkejut tapi tidak mengambil hulurannya.
“Makan ajelah orang dah bagi tu, nanti kempunan pula. Kat sana tu dah habis.”  Abang menyampuk bila melihat aku masih lagi tidak mengambil huluran daripada Haiqal. Aku malu sebenarnya bila kawan-kawan abang asyik memandang ke arah aku. Akhirnya aku mengambil dan menyuap puding ke dalam mulut. Haiqal tersenyum sambil menyambung makan. Jantung aku rasa nak luruh lagi bila melihat senyuman Haiqal. Memang sweet sekali senyuman dia, macam puding yang aku makan ni. Walawei.... Apasal terpuji diri dia pula ni?

KAMI meraikan majlis Abang Ajis dan pasangannya di hotel yang kami inap. Tema perkahwinan yang cukup memukau bagi aku. Ala-ala arab gitu. Abang Ajis memang segak dengan jubah yang berwarna hitam dan berbenang emas yang berbalut di badannya, sementalah dia memang dari keturunan arab.
Aku pernah beberapa kali berjumpa dengan Abang Ajis masa kat KL dulu. Aku pun tak tahu macam manalah nama Syed Muhammad Farhan Shah boleh menjadi Ajis. Memang jauh menyimpang tapi biasalah budak-budak lelaki ada saja nak tukar nama kawan-kawan dia.
Memang meriah majlis perkahwinan itu. Abang Ajis dan isterinya, Kak Hajar datang menyapa kami. Aku sempat bersalam dengan pengantin. Riuh mereka bersembang. Masing-masing sudah lama tak berjumpa, banyak perkara yang nak di kongsi.
“Eh.. Zulaikha pun ada? Dah lama tak jumpa, last sekali kalau tak silap Abang Ajis masa raya tahun lepas.”  Aku tersenyum mendengarnya.
“Sibuk sikit bang, Lagipun bila dah mula kerja ni dah tak boleh nak lepak-lepak macam dulu.”  Balasku.
“Lah dah kerja ke? Dulu cakap tak nak kerja sebab nak terus kahwin. Nak biar suami yang tanggung”  Selorohnya. Muka aku dah merah. Dia ingat lagi apa yang aku cakap dulu? Masa tu aku main bantai aje cakap. Saja nak bergurau dengan dia. Mereka yang berada di meja yang sama dengan aku dah tergelak sakan tapi masih lagi di control suara.
“Ikutnya memang macam tu, Calon dah ada tapi tuan punya badan aje yang jual mahal.”  Abang menyampuk sambil matanya di jeling kepada aku dan Haiqal.
“Betul ke? Kalau macam tu tak sia-sialah datang majlis abang ni. Nampaknya memang terkena tempias tuah abang ni”  Ujarnya dengan gelak yang besar diikuti dengan yang lain.
Muka aku tak payah cakaplah dah macam-macam warna yang keluar. Merah hijau kuning semua ada. Aku mencubit perlahan perut abang. Geram bila dia turut mengenakan aku.
“Mana ada. Lagipun mana boleh langkah bendul. Nanti tak larat Zulaikha nak bagi hadiah dekat abang dengan kakak. Kalau minta yang simple-simple tu tak apalah, di buatnya minta yang bukan-bukan mana kita nak cari.”  Selorohku perlahan. Mata di jeling geram ke arah abang. Aku memang sengaja cari modal nak kenakan dia balik.
“Betul tu, Freddy ni demand dia tinggi sikit. Payah.”  Sakat Alan yang duduk berselang tiga dari abang. Abang menjeling sahabatnya. Namun tidak lama bila masing-masing mula ketawa semula. Adoi... Riuh betul mereka semua ni. Dah lupa di mana kami semua berada.

PETANG esok kami semua akan bertolak balik ke KL semula. Jadi, Malam ni kami dah buat perancangan nak keluar pusing-pusing bandar Batu Pahat. Walaupun bandarnya tak berapa besar tapi tetap meriah.
Haiqal membawa kami mencuba makan mee racun. Haiqal memesan dua pinggan besar mee racun special untuk lima orang makan. Aku menunggu dalam debar. Bagaimanalah rupa mee racun tu. Air teh O ais di teguk perlahan.
Kedai makan ini nampaknya memang popular kerana pelanggan sentiasa penuh. Akhirnya pelayan datang menghantar pesanan kami. Dua pinggan besar mee racun special  di letakkan di depan kami bersama lima pinggan kosong.
Aku menilik mee itu seketika. Wah.. Macam ni rupa-rupanya mee racun yang sebenar. Apa yang aku boleh cakap rupa mee racun macam mee goreng basah tapi yang membezakan dia hanyalah di campur dengan telur dan daging dan memang berkuah plus gearbox yang menjadikan dia begitu special. Sempat lagi aku snap sebelum makan. Nanti nak share dengan mama dan Kak Aina yang tak pernah tengok rupa dia.
Haiqal menghulur pinggan yang berisi mee racun kepadaku. Aku mengambil dan mengaul dengan sudu bagi sejuk sedikit. Aku mula menyudu dan mengunyah perlahan, Tiba-tiba air mata aku menitis dan aku berdecit, Aku berpaling dan menyembunyikan wajah di belakang abang. Masing-masing yang sedang makan terus terhenti.
“Kenapa?...” Abang memusingkan badannya, namun aku tahan badan abang dengan memegang bahunya. Aku tidak mahu mereka yang lain tengok aku dengan muka yang dah berair akibat pedas memijar ni.
“Adik kenapa ni?” Soal abang semula bila aku tidak membalas pertanyaan dia tadi.
“Tergigit cili... Pedasss..” Jawabku perlahan, dekat dengan telinga abang. Aku menahan dari menangis walaupun aku terasa ingin buat macam tu.
“Ya Allah budak ni, kenapa tak cakap!”  Abang mencapai gelas dan menghulurkan kepada aku. Aku mengambil dan menyedut sampai habis, Tisu pula di hulur kepada aku dan aku mengelap hujung mata dan hidung yang sudah basah. Aku mengibas perlahan hujung lidah dengan tangan. Rasanya lidah aku dah terbakar akibat tergigit cili tadi.
“Pedas lagi ke?”  Suara Haiqal kedengaran bimbang. Aku menarik nafas dan duduk di kerusi semula. Muka aku tutup dengan tisu dan hanya nampak biji mata aku sahaja. Aku malu sebenarnya, mesti muka dan hidung aku dah merah ni sebab menangis tadi. Aku mengangguk walaupun masih lagi terasa dengan penangan cili tadi.
“Kenapa tak cakap tak boleh makan pedas tadi? Tidak boleh minta kurangkan pedas sikit. Mee ni memang pedas”
Haiqal sudah memandang aku dengan wajah risau. Risau? Tapi kenapa dia nak risau pasal aku pula.
“Tak adalah, bukan pedas sangat pun, tadi tu tergigit cili aje..”  Ujarku perlahan. Malu pula bila mereka masih lagi memfokuskan muka ke arahku.
“Budak ni bukannya boleh makan pedas sangat nanti jadi macam tadilah, Aku tak ingatlah pula nak order kurang pedas satu. Kalau nak makan dengan dia ni jangan pedas-pedas sangat nanti menangis pula, Sebab tu kalau makan dengan dia kena order asing-asing sebab selera dia macam budak-budak, tak boleh makan pedas.”
Abang dah tergelak di sebelah dan diikuti dengan Hafiz dan Sofea. Haiqal hanya terdiam. Aku perasan yang sesekali dia mencuri pandang ke arah aku. Aku tidak membalas kata-kata abang.
Gelas air milik abang aku tarik dan sedut perlahan. Masih tidak hilang pedas lagi, abang hanya melihat aku menyedut air minumannya tanpa menghalang.
“Nak air lagi?” Aku mengangguk menjawab pertanyaan abang. Abang mengangkat tangan kepada pelayan dan memesan dua gelas air lagi. Satu untuk aku dan satu lagi untuk dia kerana air abang dah habis aku minum.
“Nak makan tak ni?” Aku berpaling ke arah abang yang sedang menunjuk ke arah  pinggan di depan aku. Aku mengangguk dan pinggan yang berisi mee racun tadi aku tarik semula.
Aku teragak-agak hendak menyuap tetapi bila mengenangkan ini kali pertama aku merasa mee racun membuatkan aku memberanikan diri. Aku mula mengicip sedikit dengan hujung lidah. Pedas. Aku cepat-cepat mencapai gelas dan minum. Nak terbakar lidah aku dengan tahap kepedasan plus panas.
“Tak payahlah makan kalau tak tahan pedas nanti kita order yang lain”
“Tak apa, membazir pula kalau nak order yang lain”  Aku tidak menghiraukan kata-kata Haiqal dan menyuap semula. Aku menyuap perlahan, rasa pedas aku tahan. Takkan aku nak biarkan rasa pedas menghalang aku dari menikmati makanan yang menjadi sebutan orang-orang di sini.
“Sedap?” Tanya Haiqal. Aku mengangkat muka dan mengangguk perlahan. Tersenyum kepadanya. Aku hanya mampu habiskan sesuku aje yang selebihnya aku tolak ke tepi. Tak apalah sedikit pun asalkan aku tak kempunan nak merasa.
 Aku hanya memerhati abang dan Hafiz mengerjakan tulang gearbox di dalam pinggan. Seronok pula melihat cara mereka makan.
Selepas makan kami tidak segera balik. Haiqal membawa kami melepak di tasik Y. Tempat itu menjadi tarikan penduduk setempat untuk berjoging dan bersiar-siar bersama keluarga.
“Tempat ni macam dulu juga. Masih meriah. Jom kita pekena ABC dengan air cendol nak?”  Ajak Hafiz pula. Kami mengangguk bersetuju.
Gerai yang ada hampir penuh. Kami duduk dengan dua buah meja plastik di rapatkan. Aku, abang dan Sofea memesan ABC manakala Haiqal dan Hafiz air cendol.
“Cantik ya tempat ni. Rasa nak pergi joging aje”  Ujarku sambil duduk memerhati beberapa orang yang sedang berjoging melepasi kami.
“Kalau nak jomlah”  Ajak Haiqal. Aku tersengih sambil menggeleng.
“Rasa aje bukan nak pun”  Tokokku lagi.
ABC dan air cendol kami sampai. Aku menghirup dengan penuh nikmat ABC yang tinggi melangut. Ais krim yang di letakkan di atas ABC di colek sedikit. Perisa vanilla, kegemaran aku tu.
“Jom kita lepak-lepak kat tasik dulu. Nak balik pun masih awal lagi.”  Abang melirik jam dan berjalan di depan sekali sambil diikuti oleh Hafiz dan Sofea. Aku berjalan di belakang mereka dan Haiqal yang paling last kerana dia sedang menjawab panggilan.
Aku mengeluarkan handphone dan snap beberapa keping gambar. Aku menggamit abang supaya mengambil gambar aku tetapi dia tidak dengar kerana rancak berbual dengan Hafiz dan Sofea. Bila aku mahu memanggilnya sekali lagi ada suara yang menawarkan diri. Aku berpaling.
“Mari biar saya yang ambil gambar Farah”  Pelawanya sambil menghulurkan tangan, meminta handphoneku. Teragak-agak aku mahu menerima pelawaannya. Kelibat abang di pandang semula namun dia dah semakin jauh.
“Takkan dengan saya pun nak segan, kita kan dah lama kenal”  Ujarnya seraya mengambil handphone di tanganku tanpa sempat aku melarang.
“Okey, sedia?”  Tanyanya. Aku dah kelam kabut. Tak tahu nak posing macam mana di depan dia. Alih-alih aku hanya berdiri tegak. Haiqal tergelak.
“Ni nak ambil gambar ke nak nyanyi lagu negaraku”
Ish... Ada pula macam tu. Aku membetulkan cara berdiri. Masih lagi kaku macam tadi.
“Rileklah... Buat macam biasa.”  Pujuknya lagi. Akhirnya aku mengalah. Aku cuba rilekkan badan dan muka sudah tersenyum habis. Badan di sandarkan di pagar tasik dan jari sibuk membuat isyarat peace. Banyak keping juga gambar aku di ambilnya.
“Okey.. Done. Nice picture”  Ujarnya sambil menghulurkan handphone aku semula. Aku melihat semula gambar-gambar tadi. Aku tersenyum puas. Lepas ni boleh tunjuk dekat mama.
Thanks”  Ucapku keriangan.
Welcome.. Tak nak ambil gambar dengan saya juga ke?”  Haiqal memandang ke arahku.
“Nak buat apa?”  Tanyaku semula.
“Buat kenangan... Tak pun buat peluk tidur”  Ujarnya sambil ketawa. Aku mencebik.
“Tak apalah.. Lagipun kita bukannya rapat sangat”  Aku sudah berjalan meninggalkan dia di belakang. Haiqal berlari dan menyaingi langkahku.
“Pasal tak rapatlah saya nak rapatkan semula hubungan kita”  Dia masih lagi tidak berputus asa.
“Sebelum ni kita mana boleh terserempak, kalau jumpa juga pasti awak selalu nak kenakan saya, selalu nak buat saya hot dengan perangai awak tu”
“Saya memang sengaja nak bagi awak hot dengan saya, sebab saya suka...”
Aku brek mengejut. Haiqal turut terhenti melangkah. Aku  tak salah dengar ke tadi?
“Apa awak cakap tadi, saya tak dengar.”
“Saya suka awak”  Tak teragak-agak dia membalas. Aku berkalih ke kiri dan ke kanan, Malu kalau ada yang pasang telinga dengan perbualan kami di tengah-tengah jalan ni.                 
“Saya rasa kepala awak ni dah tak betul”  Aku pantas beredar. Malu nak menatap mukanya. Aku perasan dengan pandangan redup Haiqal. Aku memang perasan yang dia memang dah lain sejak balik dari London tempoh hari.
“Saya suka awak Farah!”  Laungnya lagi kuat dari tadi. Langkah aku terhenti. Aku tahu saat ni bukan aku saja yang mendengarnya sebab beberapa orang yang berhampiran tersenyum-senyum melihat aku. Aku tak berani nak berpaling. Langkah pun rasa dah kaku.
Aku menutup mata dan menarik nafas panjang-panjang. Udara yang di sedut aku hembus kuat. Aku mula membuka langkah. Baru beberapa langkah di ambil suara Haiqal kedengaran lagi tapi kali ni suara itu kedengaran hampir di telingaku.
“Saya memang suka dan cintakan awak sejak dulu lagi, tapi saya takut nak luahkan perasaan saya pada awak. Hanya Freddy yang tahu rahsia hati saya”  Ucapnya tenang. Haiqal berdiri di depan aku. Aku tahu yang dia sedang memandang aku ketika ini. Aku tak berani nak mengangkat wajah. Malu dan segan bergabung menjadi satu.
“Saya... Saya..”  Tergagap aku nak bersuara. Tiba-tiba aku rasakan yang kepala otak aku tiba-tiba kosong. Tak tahu nak balas apa.
“Tak perlu cakap apa-apa. Saya faham. Mungkin awak tak percaya dengan apa yang saya cakap tapi satu aje yang saya nak beritahu awak yang saya memang sangat-sangat cintakan awak. Maaf jika saya sering buat awak marah-marah dulu sebab saya tak tahu cara nak luahkan isi hati saya pada awak”  Luah Haiqal perlahan. Aku perlahan-lahan mengangkat wajah dan mata kami saling berpandangan. Aku dapat melihat dengan jelas redup mata Haiqal. Satu tanda kejujuran terpancar di balik matanya. Terkedu lagi aku.
Take you time”  Ujarnya sebelum berjalan meninggalkan aku keseorangan. Aku hanya mampu melihat dia berjalan pergi ke arah yang bertentangan. Aku mengeluh perlahan. Kepala tiba-tiba rasa' weng' aje. Jangan aku demam terkejut sudahlah.

DATARAN PENGGARAM menjadi tempat persinggahan kami selepas itu. Tempat itu di penuhi orang ramai kerana memandangkan cuti hujung minggu. Langkah kami menjadi perlahan-lahan bila terpaksa bersesak-sesak di celah-celah orang ramai.
“Karnival apa kat sini ni?” Aku terdengar suara Sofea yang bertanya kepada Hafiz yang sedang berjalan di depan aku. Hafiz menunjukkan ke arah satu banner yang tergantung di tiang. Mata aku turut melihat sama apa yang tertulis di situ.
“Karnival budaya, Pameran perkahwinan sempena ulangtahun DYMM Sultan Johor rupa-rupanya, patutlah orang ramai.” Ujar Sofea membaca apa yang tertulis di banner itu.
Sofea menarik tangan Hafiz bila kami masuk ke dalam satu booth yang besar yang di pasang di tengah-tengah dataran. Aku tersenyum melihat pasangan yang cukup romantik pada pandangan aku. Aku memeluk tangan abang kerana tidak mahu terpisah dengannya.
“Kenapa nak peluk-peluk tangan abang ni? Nanti orang ingat kita couple pula. Payahlah abang nak usha makwe kat sini kalau adik asyik berkepit dengan abang pula”
“Amboi... Gatal ya, siapalah yang nakkan abang ni. Kalau tahu perangai abang yang sebenar memang abang dah kena reject awal-awal tau!”
Aku melepaskan pegangan tangan abang dan berjalan laju ke depan. Abang memanggil aku tetapi aku buat derk aje dengan panggilan dia tu. Aku terus berjalan tetapi mata masih lagi memerhati kelibat abang yang sedang berjalan tidak jauh daripada aku. Tak nak hilang jejak abang nanti kalau hilang payah pula aku nak cari dia.
“Kak..”  Aku terkejut bila di sapa oleh seseorang. Aku berpaling melihat. Erk... Seorang lelaki lembut yang bermekap tebal dengan rambut yang panjang sedang menghulur satu brosur pengantin kepada aku. Dia tersengih melihat muka aku yang terkejut tadi.
“Terima kasih..” Aku mengambil dan terus berjalan. Terdengar suara orang ketawa di sebelah aku. Aku berpaling, Haiqal. Dia tersenyum sambil berjalan seiring dengan aku. Dia nampak ke muka aku terperanjat bila kena tegur dengan nyah tadi? Malas nak memikir aku terus menapak.
Aku terpesona dengan pelbagai jenis pelamin, pakaian pengantin sehinggalah ke kad dan juga cenderahati yang di pamerkan. Masing-masing sibuk melayan pengunjung yang menghampiri booth mereka. Dari pandangan aku kebanyakkan mereka yang terlibat adalah dari jenis lelaki lembut.
Pandangan mata aku tiba-tiba jatuh pada satu set pelamin ala-ala fairytale yang berwarna putih gading. Memang cantik seolah-olah di buat dengan bulu burung yang berwarna putih. Memang cantik, tak tahu aku nak gambarkan macam mana.
“Cantik kan?”
Aku mengangguk sambil tersenyum, mengiyakan apa yang dikatakan. Aku berpaling. Haiqal lagi, Kenapa dia asyik mengikut aku saja sejak dari tadi. Tadi masa kat tasik cakap nak bagi aku masa tapi kalau dah asyik melekat macam ni macam mana aku nak berfikir. Aku mencari kelibat abang tapi dengan bilangan pengunjung yang ramai menyukarkan aku mencarinya.
“Mana yang lain?” Tanyaku kepada Haiqal. Haiqal menarik aku ke tepi bila aku menghalang laluan orang.
“Ada. Mereka tengah duduk-duduk kat depan tu”
Haiqal menunjuk ke arah kolam air pancut yang berada di luar. Aku mengangguk sambil kaki mula melangkah keluar. Rimas bersesak-sesak dengan orang ramai di dalam booth ni. Haiqal mengikut dan aku terus mendapatkan mereka bertiga yang sedang berborak sambil duduk di birai kolam.
“Lamanya pergi, kenapa ada yang berkenan ke?”
“Berkenan apanya?” Aku duduk di sebelah abang di birai kolam. Air pancut yang di pasang mengalir perlahan di belakang kami. Aku kembali memandang ke depan sambil memerhati gelagat budak-budak yang sedang bermain berhampiran kami.
“Tak berkenan ke dengan offer yang dia orang bagi untuk pakej perkahwinan tu”
Sakat abang lagi. Aku dah terasa lain macam bila mereka bertiga dah tersengih-sengih melihat aku dengan Haiqal serentak. Takkan mereka ada dengar apa yang terjadi kat tasik tadi? Tapi itu semua tidak mustahil kerana aku yakin suara Haiqal tadi memang agak kuat. Kalau betullah mana aku nak letak muka. Dahlah mereka ni kawan-kawan rapat Haiqal.

“Entah..” Aku mengangkat bahu. Malas nak komen banyak-banyak nanti kena sakat pula. Baik tutup mulut, nanti senyaplah abang tu kalau orang tak layan dia. Aku tersengih bila melihat abang sudah beralih dan kembali berbual dengan Haiqal, Sofea dan Hafiz.

                                                                                                                 bersambung...

No comments:

Post a Comment

Cafe November

BAB 1 H ATI rasa mahu meletup bila dengar pengakuan daripada Hisham. Rasa ringan tangan mahu naik ke mukanya. Tetapi...