Saturday, December 12, 2015

Indahnya Cinta 1






                                                           



M

ata yang pedih aku kelip-kelipkan beberapa kali. Jarum jam dipandang. Waktu sudah menghampiri ke pukul 12 malam. Fail yang terakhir aku baca tadi sudah pun ditutup rapat. Penat. Baru kaki mahu melangkah ke katil, terdengar nama aku di panggil berserta ketukan di muka pintu. Langkah kembali di atur. Abah.
“Kenapa abah?” Tanya aku pada abah yang sedang tersenyum itu.
“Abah tengok bilik adik masih terang lagi masa kat bawah tadi.” Ujar abah. Aku faham benar dengan perangai abah yang suka duduk di taman rumah. Suka berembun malam-malam buta. Skodeng aweks ke abah aku ni? Hakhak.. kalau abah tahu apa yang di fikirkan aku sekarang ini, agaknya kepala aku dah kena luku. Aku tersengih.
“Semak kerja sikit bah. Dah siap pun.” Balasku. Abah angguk.
“Esok jom joging dengan abah. Dah lama rasanya tak joging sama-sama.” Ajak abah. Aku dah telan liur. Joging? Dah lama rasanya aku tak buat kerja tu. Rasanya stamina aku pun pasti dah ke laut.
“Alah abah, adik ingat baru nak guling-guling sampai petang. Penatlah bah.” Memang betul pun, sejak dua minggu kebelakangan ini masa tidur dan rehat aku memang terhad. Terlalu sibuk.
“Elok sangatlah tu, orang kalau penat badan baik joging baru tubuh tu sihat, bukan berlingkar atas katil sepanjang hari. Dah esok kita joging ajak abang dengan Kak Aina sekali.”
“Tapi bah…” aku rasa macam nak bangkang tapi abah dah naikkan lima jari depan muka aku. Serius muka abah malam-malam buta ni.
“No excuse! Abah masuk tidur dulu. Ingat pukul tujuh pagi sharp turun bawah.” Abah terus masuk biliknya. Aku mengeluh.
“Arghh!! Malasnya.” Aku jerit perlahan. Pintu bilik kembali di tutup. Telefon di tepi bantal aku capai. WhatApps aku buka. Abang dan Kak Aina masih online. Bagus, tak payah menapak ke bilik mereka. Aku tulis mesej dan hantar pada mereka berdua.
Malaslah ~ abang
No excuse! balasku. Kemudian dari Kak Aina pula. Masing-masing memang tak suka joging.
Cakap sendiri kat abah kalau tak nak. Esok pulul tujuh sharp!
Aku campak telefon ke sebelah. Malas nak melayan karenah abang dan kakak aku. Mata dah mengantuk gila ni. Bunyi noti dari telefon pun aku buat tak layan. Adios.. aku nak tidur dulu.

“Adik cepat sikit!” terdengar laungan daripada abang. Aku yang baru siap menyarung tudung terus buka pintu. Abang sudah berdiri di muka pintu dengan baju t shirt dan track suitnya. Aku dan abang beriringan turun ke tingkat bawah.
Awal lagi. Ada dalam lima belas minit sebelum pukul 7 pagi. Bau wangi dari arah dapur membuatkan langkah aku melencong ke sana.
“Hai mama, nak pergi joging ke berkelah ni?” Usik abang. Aku tersengih. Jus oren dalam peti aku keluarkan dan tuang ke dalam gelas.
“2 in 1” Jawab mama sambil tangannya ligat memasukkan makanan ke dalam bekas tupperware.
“Jom, abah dah tunggu.” Wajah Kak Aina tersembul dari muka pintu dapur sebelum bergerak keluar. Kami berdua angguk dan terus keluar. Rak kasut di hampiri dan kasut di keluarkan. Dah lama aku tak pakai kasut ni. Nampak sangat dah lama tak guna.
“Kalau nak nampak muda macam abah kenalah jaga kesihatan. Makan kena banyak pantang dan bersenam tu kenalah selalu. Hai.. Peninglah abah tengok kamu tiga beradik ni, dulu masa kecik-kecik rajin aje bersenamnya tapi bila dah besar dengan masing-masing dah sibuk dengan kerja dah tak fikir soal kesihatan.”  Bebel abah sambil berdiri menghadap kami.
Aku dah buat muka bosan. Telinga dah lali dengan ceramah percuma dari abah. Abah berpaling sambil terus bercakap. Aku mengajuk cakap abah tanpa dia sedari, siap dengan gaya-gaya sekali. Mengekek abang dan Kak Aina ketawa dengan tingkahlaku aku.
“Farah Zulaikha!!!... Abah nampak apa yang kamu tengah buat sekarang ni. Jangan sesekali mimik masa abah tengah bercakap ni, faham!!”  Kuat sekali suara abah. Terperanjat kami di buatnya. Aku terdiam kaku dan perlahan-lahan memusingkan badan dan menghadap abah yang masih duduk tercegat menghadap kami. Aku tersengih. Jari perlahan-lahan membuat isyarat peace dekat abah. Alamak macam mana boleh terkantoi ni!

ABANG memberhentikan kereta di kawasan  taman Tasik Titiwangsa. Aku sudah melompat keluar dari perut kereta dan berlari menghadap tasik yang terbentang luas di depan mata. Hai, aku mulalah berangan penuh seksi. Tangan di depakan dan cuba merasai angin pagi. Rasa nyaman bila angin membuai-buai tudungku dengan lembut.
“Hoi... Cik adik jangan duk feeling seksi pagi-pagi ni. Meh tolong angkut barang-barang ni keluar.” Serentak dengan itu sebatang ranting kecil hampir-hampir mengenai aku jika tidak sempat di elak. Abang tersengih. Aku memungut kembali ranting itu dan membaling semula ke arahnya. Dia yang tidak dapat menjangka tindakan aku dan balingan tadi tepat mengenai kepalanya. Menyeringai dia menahan sakit. Eleh... Macamlah sakit sangat, Over aje lebih dia tu.
Selepas membantu mana yang patut abah dah memanggil kami bertiga ke depan. Separuh hati saja kami mengikut separuh lagi dah pergi entah ke mana.
“Sebelum tu kita warming up dulu. Nanti tak adalah yang cramp pula. Okey sekarang ni ikut abah buat.”
Kami mengikut. Kang kalau tak buat ada yang kena sound pula nanti. Mama hanya duduk bersimpuh di atas tikar. Abah tak bagi mama ikut sebenarnya tadi sebab  mama bukannya sihat sangat hari ini. tapi mama nak datang juga, akhirnya abah mengalah. Orang sayang binilah katakan.
Kami memulakan larian. Abah dah berlari ke depan bersama dengan abang dan Kak Aina, aku pula mengekori mereka dari belakang. Naik semput aku duk mengejar larian mereka bertiga. Ini berjoging ke tengah lumba lari. Aku hanya larat membuat dua pusingan sahaja sebelum rebah keletihan atas riba mama.
Mama tersenyum sebelum mengambil tuala dan mengesat peluh di dahi aku. Air mineral di hulurkan kepadaku dan aku meneguk rakus sebelum kembali merebahkan diri di atas paha mama semula. Mataku sengaja di pejam.
“Apa ni adik awal-awal lagi dah pancit”  Suara mengah abah menegur tapi aku buat tak layan. Penat tak hilang lagi.
“Ma nak air”  Suara abang pula kedengaran tapi aku masih lagi tidak mengangkat kepala.
“Ooiii... Tidur ke?”  Cuit abang. Aku mendengus marah bila di kacau. Aku bingkas bangun dan duduk bersila.
“Sibuklah abang ni. Nak bermanja dengan mama pun tak boleh”  Aku dah mula nak memuncung. Kali ini bahu mama pula menjadi mangsa aku.
“Dah nak kahwin pun masih lagi nak bermanja dengan mama. Tak malu. Nanti cakap dekat Haiqal baru tahu.”  Balas abang.
“Kenapa pula tiba-tiba keluar nama dia pula ni. Abang ni sengaja nak bagi adik hot pagi-pagi ni ya”  Aku dah mula nak mendidih. Tangannya laju aku cari dan satu cubitan aku hadiahkan kepadanya. Menyeringai dia menahan sakit. Kena lagi dia dengan aku pagi ni!.
“Kamu berdua ni kalau tak bergaduh tak sah. Jumpa aje terus nak bergaduh. Peninglah kepala abah ni dibuatnya. Tengok.. Sampaikan kepala abah ni dah nak botak sebab rimas dengan perangai kamu ni”  Abah menyampuk. Kami semua tergelak bila abah membuat lawak tentang kepalanya. Kami sering bergurau dengan abah pasal rambutnya, tapi nasib baik abah jenis yang sporting. Walaupun tegas tapi hati baik.
“Itulah abah, Aina nak sponsor buat rawatan dekat Yun Nam hair care abah tak nak. Sekarang abah sibuk duk mengadu pasal rambut. Kalau abah ikut dari dulu kan dah senang.”
“Bukan abah tak nak sayang ooii.. Tapi mama korang ni yang tak kasi sebab takut orang lain terkenan dekat abah ni. Kan abah korang ni orangnya handsome. Tak gitu sayangku”  Abah memandang mama. Muka mama tiba-tiba bertukar merah. Malulah tu kena usik dengan abah. Kami ketawa lagi.
“Dah tepi-tepi.. Turn abah pula nak bermanja dengan mama kamu ni”  Abah menolak lembut kepala aku di bahu mama. Aku mengeraskan kepala. Tetap tak berganjak dari bahu mama. Sengaja nak kenakan abah.
Mata aku dah berisyarat dengan mata abang dan Kak Aina. Mereka memahami maksudku dan segera menghampiri mama. Kak Aina melentokkan kepalanya di bahu sebelah kanan mama manakala abang cepat-cepat meletakkan kepala di atas paha mama. Kami mengekek ketawa. Mama yang tadi terkejut turut tertawa bila mula memahami keadaan itu. Abah dah terlopong.
“Maaf ya abah. Hari ni mama milik kami. Lagipun semua tempat dah di tempah oleh kami kalau abah nak juga tunggu turnlah ya. Itupun kalau mama laratlah.”  Ujarku, sengaja membakar abah. Merah lagi muka mama bila di usik begitu. Laju tangan mama mencubit perutku. Aku mengaduh sakit namun terus tertawa semula bila melihat wajah masam abah.
“Tak apa kamu semua kenakan abah hari ni. Tapi ingat lepas-lepas ni abah tak akan kasi can dekat kamu semua. Mama abah yang punya” 
“Eleh macam ayat merajuk aje bunyinya. Tak apa, abah memanglah kena kasi can dekat kami sebab lepas ni kami dah mula sibuk balik dengan kerja kalau abah lainlah hari-hari boleh jumpa dengan mama. Kan kak?”  Ujarku sambil memandang Kak Aina di sebelah. Dia mengangguk bersetuju.
“Dah-dah cepat makan. Hari makin meninggi ni, kesian dekat mama tu. Badan dia masih belum sihat lagi tu.”  Ujar abah. Kami angguk dan mula makan. Seronok pula menghabiskan masa dengan keluarga hari ini.



                                                                                    bersambung....

No comments:

Post a Comment

Cafe November

BAB 1 H ATI rasa mahu meletup bila dengar pengakuan daripada Hisham. Rasa ringan tangan mahu naik ke mukanya. Tetapi...